KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2026 minggu depan dengan tumpuan utama merangkumi agenda pembaharuan dalam sektor perumahan, pendidikan serta kesihatan, selaras Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, belanjawan yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober ini merupakan belanjawan pertama di bawah RMK13.
“Fokus belanjawan ini digarap berasaskan RMK13 dan kerangka ekonomi Madani.
“Antara agenda yang akan dibawa dalam belanjawan adalah pelaksanaan reformasi untuk memperkukuh sektor perumahan, pendidikan dan kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam (MEKA) 2025 di sini, semalam.
Mengulas kemungkinan kenaikan sin tax atau ‘cukai dosa’ (cukai berkaitan tembakau, arak dan judi), Amir Hamzah enggan mengulas lanjut dan menegaskan butiran mengenainya akan diumumkan ketika pembentangan belanjawan.
Menurutnya, kerajaan kekal berada pada landasan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada bawah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh sederhana melalui langkah rasionalisasi subsidi dan tadbir urus fiskal yang lebih berkesan.
“Defisit fiskal negara berada pada paras 6.1 peratus kira-kira empat tahun lalu. Tahun lepas ia menurun kepada 4.1 peratus. Insha-Allah, tahun ini kita akan cuba capai 3.8 peratus.
“Kita berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang telah digariskan,” katanya.
Tambahnya, penjimatan hasil daripada pembaharuan subsidi membolehkan kerajaan memperluas program bantuan sosial seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Warga Emas di samping meneruskan peruntukan bagi menambah baik kemudahan sekolah serta hospital.
RMK13 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 31 Julai lalu di Dewan Rakyat menetapkan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 dengan peruntukan RM611 bilion.
Ia meneruskan usaha menyusun semula struktur ekonomi dan mengangkat martabat rakyat melalui pertumbuhan yang lebih saksama, berdaya saing dan inklusif.
Antara kandungan utama ialah pelaburan besar serta reformasi dalam pendidikan dan kesihatan, pembangunan wilayah yang seimbang, penyediaan sejuta rumah mampu milik, perluasan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pendigitalan perkhidmatan awam serta penciptaan lebih sejuta pekerjaan bernilai tinggi. – UTUSAN










