Perlumbaan Moto3 tertangguh

Perlumbaan Moto3 tertangguh, ekoran kemalangan menimpa Rueda, Dettwiler

Noah Dettwiller (jentera hijau) dari Switzerland dikejarkan ke hospital dengan menaiki helikopter selepas terbabit dalam kemalangan dengan juara dunia, Jose Antonio Rueda pada Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, Sepang, hari ini. Gambar/Utusan: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Perlumbaan Moto3 terpaksa ditangguhkan selama 1 jam 45 minit selepas insiden kemalangan berlaku membabitkan juara dunia, Jose Antonio Rueda dan pelumba Switzerland, Noah Dettwiler sewaktu pusingan ‘sighting lap’ sedang dilakukan pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dekat sini, hari ini.

‘Sighting lap’ merupakan pusingan yang disempurnakan pelumba bagi memeriksa keadaan trek sebelum saingan sebenar bermula.

Perlumbaan Moto3 yang sepatutnya bermula pukul 12 tengah hari, ditangguhkan kepada pukul 1.45 petang dan kelewatan itu menyebabkan saingan MotoGP turut bermula lewat pada pukul 3 petang, manakala, Moto2 pukul 4.30 petang.

Berdasarkan informasi yang disalurkan MotoGP, kemalangan tersebut berpunca daripada Rueda yang merempuh dari belakang Dettwiler sewaktu pelumba pasukan CIP Green Power itu sedang memperlahankan jenteranya di tepi trek.

Insiden malang itu turut memaksa steward perlumbaan menangguhkan saingan Moto3 selepas bendera merah dikibarkan.
Kemalangan tersebut juga menyebabkan perlumbaan Moto3 sebanyak 15 pusingan terpaksa disingkatkan kepada 10 pusingan sahaja.

Utusan Malaysia juga difahamkan, pelumba Red Bull KTM Ajo, Rueda dan Dettwiler telah diterbangkan ke hospital dengan menaiki helikopter bagi mendapatkan rawatan lanjut di hospital berhampiran.

Sewaktu kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 11.47 pagi itu, Pengarah Perubatan MotoGP mengesahkan kedua-dua pelumba tersebut berada dalam keadaan sedar dan ambulans telah dipandu masuk bagi membawa Reuda serta Dettwiler keluar dari trek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN