Peluang peminat bola sepak Kedah imbau kejayaan ‘double treble’

Peluang peminat bola sepak Kedah imbau kejayaan ‘double treble’

BARISAN pemain pasukan Ex Double Treble Kedah yang akan menyertai perlawanan persahabatan Piala CT Global Legend Cup 2025 di Stadium Darul Aman. - IHSAN EXDOUBLETREBLEKEDAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerinduan penyokong pasukan bola sepak Kedah terhadap skuad ‘double treble’ yang merangkul gelaran itu hampir 20 tahun lalu bakal terubat dengan penganjuran Piala CT Global Legend Cup 2025 di Stadium Darul Aman pada 10 Oktober ini.

Lebih mengujakan, perlawanan persahabatan antara skuad Ex Double Treble Kedah dengan pasukan Ex Malaysia Legend itu bukan hanya membariskan bekas pemain tempatan tetapi trio import Kedah pada zaman kegemilangan itu yang kini sudah berada di bumi Alor Setar.

Bekas penyerang sensasi, Marlon Alex James antara yang sanggup terbang dari Saints Vincent and Grenadines bagi mewarnai aksi tersebut bersama rakan senegaranya, Cornelius Bernard Huggins selain Nelson Sam Martin.

Ketika era tersebut, penampilan trio import itu sentiasa menggerunkan pasukan lawan dalam Liga Malaysia dengan Marlon selaku mesin gol Sang Kenari, disamping Huggins yang kental di barisan pertahanan dan kebijaksanaan Nelson mengemudi bahagian tengah Kedah.

Marlon yang meraih anugerah Kasut Emas Liga Malaysia pada 2008 mengakui amat teruja untuk bersama sebahagian bekas rakan sepasukannya yang ketika itu dikendalikan Allahyarham Azraai Khor Abdullah.

“Saya cukup gembira kembali ke Kedah. Ini peluang terbaik untuk mengimbau kenangan manis bersama rakan lama serta penyokong yang meraikan kejayaan dulu. 

“Saya tidak sabar untuk beraksi semula demi merebut Piala CT Global Legend Cup,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan itu di sini, semalam.

Pasukan Ex Malaysia Legend akan dibarisi nama-nama besar bola sepak tanah air antaranya Safiq Rahim, Amri Yahyah, Khalid Jamlus dan Indera Putra Mahyuddin, manakala Tan Cheng Hoe selaku jurulatih. 

Sementara Ex Double Treble Kedah yang dikendalikan Radhi Mat Din akan dibarisi pemain-pemain lama seperti Baddrol Bakhtiar, Akmal Rizal, Rafdi Rashid, Helmi Eliza Elias, Shafizan Hashim dan Fauzie Nan.

Menurut wakil penganjur, Ahmad Fauzi Saari, perlawanan itu bukan sahaja bertujuan mengembalikan nostalgia era kegemilangan bola sepak Kedah, malah menjadi platform untuk menghargai jasa dan pengorbanan bekas pemain tempatan serta import yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara.

“Konsep ‘reunion’ ini adalah untuk tatapan peminat bola sepak, khususnya di Kedah. Ia juga sebagai usaha membantu bekas pemain dari segi kebajikan dan pembangunan ekonomi mereka,” katanya. 

Tiket perlawanan telah mula dijual pada harga RM15 untuk ruang teres dan RM25 bagi Astaka Utama, yang boleh didapati secara fizikal dan dalam talian melalui laman rasmi Facebook Exdoubletreblekedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN