KUALA LUMPUR: Pasukan ragbi PDRM membuktikan mereka berada di kelas tersendiri apabila melakar hatrik kejuaraan Piala Agong 2025 selepas menewaskan Johor 19-17 dalam perlawanan akhir penuh dramatik di UM Arena, hari ini.
Pertemuan sengit itu memperlihatkan kedua-dua pasukan berbalas serangan sejak wisel permainan dibunyikan dengan PDRM lebih garang di awal perlawanan untuk mendahului 11-10 pada babak pertama.
Namun, Johor bangkit di separuh masa kedua dengan disiplin pertahanan dan serangan tersusun, sekali gus merampas kelebihan menerusi satu try menarik untuk mendahului 17-11.
Ketegangan memuncak pada tiga minit terakhir apabila PDRM meningkatkan tekanan dengan rentetan serangan bertubi-tubi ke garisan lawan.
Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya merobek pertahanan Johor pada minit akhir untuk menghasilkan try penentu kemenangan sebelum sepakan tambahan memastikan kelebihan 19-17 kekal hingga tamat perlawanan.
Sorakan penyokong Sang Saka Biru bergema di sekitar UM Arena sebaik wisel penamat ditiup, menandakan kejuaraan ketiga berturut-turut buat skuad kendalian Dinesvaran Krishnan yang sekali lagi membuktikan ketahanan mental dan semangat juang luar biasa anak buahnya.
Johor pula boleh berbangga dengan persembahan bertenaga mereka apabila hampir menamatkan dominasi PDRM, namun terpaksa akur dengan kehebatan pengalaman pasukan lawan yang tidak mudah menyerah hingga ke saat akhir.
Dengan kemenangan tersebut, PDRM membawa pulang trofi kemenangan bersama wang tunai RM20,000. – UTUSAN










