KUALA LUMPUR: Tanah seluas 15,375 hektar telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan bagi penanaman jagung bijian sebagai langkah mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan makanan ternakan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, tanah tersebut telah dikenal pasti melalui sesi libat urus bersama kerajaan negeri termasuk Perlis, Perak, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
“Melalui kerjasama erat dengan kerajaan negeri, kawasan-kawasan ini bersedia untuk dimanfaatkan bagi pembangunan tanaman jagung bijian secara lebih sistematik dan bersepadu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin), sama ada penglibatan GLC dapat memberi impak positif dan mencapai matlamat yang ditetapkan dalam pelan ini.
Katanya lagi, pendekatan ini penting dalam menangani cabaran semasa melibatkan keterjaminan makanan dan kos bahan makanan ternakan yang bergantung kepada pasaran luar negara.
“Dengan pendekatan bersepadu, kita dapat secara bersama mengatasi isu yang dihadapi oleh negara,” katanya.
Jagung bijian merupakan antara komponen utama dalam pengeluaran makanan ternakan, khususnya ayam dan lembu.
Malaysia kini mengimport hampir keseluruhan bekalan jagung bijian, menjadikan sektor ini antara tumpuan utama dalam Pelan Tindakan Dasar Agromakanan Negara. – UTUSAN








