KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 lesen pengendali dan 12 permit kenderaan perdagangan dibatalkan sejak 2019 hingga Ogos lalu selepas didapati melanggar syarat Sistem Audit dan Pemeriksaan Keselamatan JPJ (JISA).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 562 lesen pengendali turut digantung serta sedang melalui proses penggantungan, manakala 56 permit kenderaan digantung dan diberi amaran.
“Secara keseluruhan, sebanyak 665 tindakan penguatkuasaan telah diambil setakat ini dan kementerian akan terus memperhebat usaha untuk memastikan semua pengendali mematuhi garis panduan keselamatan sedia ada bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mordi Bimol (PH–Mas Gading) mengenai tindakan menyeluruh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam pelaksanaan audit keselamatan terhadap pengusaha kenderaan komersial.
Siew Fook berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui JPJ sedang melaksanakan pelan pendigitalan bagi tujuan proses audit keselamatan kenderaan komersial yang dijangka siap dan boleh digunakan pada 2027.
Katanya, sistem itu akan membolehkan modul audit dan pemantauan dilaksanakan secara kendiri dengan mekanisme pengesahan serta kawalan bagi memastikan proses audit dilaksanakan secara telus, cekap dan berintegriti.
“Melalui pelaksanaan sistem ini, data daripada peranti sistem kedudukan global (GPS) akan diintegrasikan terus ke dalam pangkalan data JISA bagi membolehkan pengesanan ketidakpatuhan secara masa nyata,” katanya.
Mengulas kebimbangan berhubung kos pematuhan JISA yang didakwa menjadi punca tahap pematuhan masih rendah, Siew Fook berkata, langkah pematuhan tidak melibatkan kos tinggi, sebaliknya mampu dilaksanakan dengan pendekatan lebih praktikal.
“Sebagai contoh, pemasangan sistem GPS tidak lagi membebankan kerana kini terdapat syarikat yang menawarkan perkhidmatan secara langganan dengan kadar mampu milik.
“Harga langganan GPS hanya sekitar RM50 hingga RM60 sebulan bagi setiap kenderaan iaitu bersamaan kira-kira RM1 hingga RM2 sehari. Sistem ini amat penting bagi memantau sama ada kenderaan mematuhi had kelajuan ditetapkan atau tidak,” katanya.-UTUSAN









