MANDALIKA: Juara dunia MotoGP 2025, Marc Marquez mengakui kejayaan yang diciptanya pada Grand Prix (GP) Jepun pada minggu lalu menjadi suntikan semangat buatnya menjelang GP Indonesia, minggu ini.
Pelumba Ducati itu mengesahkan kejuaraan musim 2025 pada Ahad lalu lalu di Motegi, sekali gus menjadikannya juara dunia MotoGP tujuh kali, enam tahun selepas kejuaraan terakhirnya.
Walaupun masih berbaki lima pusingan musim ini, namun Marquez tidak memperlahankan rentaknya apabila pelumba dari Sepanyol itu mahu menambah kemenangannya bagi membantu Ducati muncul juara pengeluar.
“Tujuh puluh dua jam terakhir sangat luar biasa. Ahad lalu adalah hari yang saya akan kenang sepanjang hayat. Ia penuh dengan detik menyentuh hati, penuh emosi dan yang paling penting, penuh kegembiraan dan ketenangan.
“Saya tiba di Mandalika masih membawa semua emosi ini, yang akan memberi saya semangat tambahan untuk kekal fokus dan terus memberikan yang terbaik untuk pasukan dan seluruh kumpulan kerja.
“Kemenangan pasukan juga kini semakin hampir,” katanya.
Itu merupakan kali pertama dalam sejarah MotoGP seorang pelumba mengambil masa yang lama sebelum kembali mendapatkan semula kejuaraan dan kejayaan itu menyamai rekod Valentino Rossi dengan tujuh gelaran juada dunia. – AGENSI