Malaysia bertemu China di suku akhir

Malaysia bertemu China di suku akhir

Malaysia menutup saingan Kumpulan C selaku juara selepas membenam Australia 2-0, semalam, yang sekali gus menyaksikan pasukan negara meraih kemenangan dalam kesemua tiga perlawanan di pusingan awal. - IHSAN FB BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad muda negara berdepan laluan getir bertemu China pada suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia Berpasukan Campuran 2025 di Guwahati Assam, India, hari ini.

Malaysia menutup saingan Kumpulan C selaku juara selepas membenam Australia 2-0, semalam, yang sekali gus menyaksikan pasukan negara meraih kemenangan dalam kesemua tiga perlawanan di pusingan awal.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Malaysia sewaktu undian semula dilaksanakan apabila dijadual berdepan negara Tembok Besar itu di suku akhir.

Jurulatih skuad remaja negara, Ramdan Misbun berkata, beliau tidak menafikan China merupakan sebuah pasukan yang kuat dan seimbang.

Namun, katanya, ia tidak bererti barisan pemain muda Malaysia tidak mampu menyaingi kekuatan China dan yakin anak-anak buahnya akan memberikan tentangan sengit kepada lawan mereka itu.

“Sedikit sebanyak kita tahu China telah banyak kali menang, cuma saya yakin para pemain sangat positif selepas meraih kemenangan di peringkat kumpulan.

“Hendak cakap kita sebuah pasukan yang teruk, tidak juga dan kita telah banyak kali berjumpa China, saya berharap mereka dapat memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemu bual menjelang suku akhir, hari ini.

China membutikan mereka merupakan kuasa besar sukan badminton dunia tidak kira di peringkat senior ataupun remaja dan dalam acara berpasukan campuran, negara itu telahpun merangkul sebanyak 14 kali gelaran remaja dunia.

Cuma pada tahun lalu, Indonesia muncul juara kategori tersebut dan Malaysia pula pernah berbuat demikian pada edisi 2011.

Mengulas pula mengenai format baharu yang diperkenalkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Ramdan berkata, sistem sembilan mata yang diperkenalkan mungkin memberi manfaat kepada skuad remaja negara.

“Bagi saya, siapa yang lebih konsisten dan siapa yang boleh mendapat rentak permainan dengan cepat, mereka akan menang dan saya harap para pemain dapat mempamerkan rentak permainan yang bagus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN