PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching melakar kejutan ke atas pemain No. 39 dunia, Pitchamon Opatniputh untuk menempah slot ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 di Johor, esok.
Pada separuh akhir, hari ini, Ling Ching yang menghuni ranking ke-70 dunia menewaskan wakil Thailand itu 20-22, 23-21, 24-22 dalam masa 1 jam 20 minit di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri.
Pemain berusia 22 tahun itu akan berdepan satu lagi laluan getir bertemu pemain ke-37 dunia, Nozomi Okuhara dari Jepun pada perlawanan akhir.
Ling Ching berkata, dia bekerja keras untuk bangkit selepas tewas dalam set pertama dan sikap terburu-buru menjadi punca kegagalannya itu.
“Saya mengaku tidak sabar, macam saya cuba hendak susahkan lawan, tetapi, dia berjaya bagi balik apa sahaja hantaran yang saya lakukan,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir, hari ini.
Menurut Ling Ching, selepas itu, dia cuba menukar gaya permainannya dan beraksi lebih sabar tanpa terlalu tergesa-gesa mematikan bulu tangkis.
“Saya cuba lancarkan serangan dan lawan pun cuba hendak menukar strategi permainannya,” katanya.
Ketika ditanya pula mengenai pencabar yang bakal ditemui pada final, Ling Ching berkata, Okuhara merupakan pemain berpengalaman yang telah beraksi dalam banyak pertandingan, jadi, dia sedar usaha yang lebih perlu diberikan bagi memberikan persembahan terbaik.
Sementara itu, perebutan gelaran dalam beregu lelaki telahpun disahkan lebih awal menjadi milik Malaysia selepas pertembungan sesama sendiri pada perlawanan akhir, esok.
Pada separuh akhir, beregu muda Malaysia, Kang Khai Xing-Aaron Tai mengetepikan rakan senegara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-9, 25-23 dalam masa 31 minit.
Juara remaja dunia itu akan menghitung pertemuan dengan Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao selepas beregu profesional Malaysia itu mengejutkan pilihan pertama, Kakeru Kumagai-Horoki Nishi dari Jepun 18-21, 22-20, 21-19 dalam masa 54 minit. – UTUSAN