KUALA LUMPUR: Penyertaan pelajar dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mencatat peningkatan ketara iaitu 53.9 peratus dan dijangka mencecah 70 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lonjakan itu berpunca daripada kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi serta peluang gaji yang lebih baik, terutamanya dalam kalangan pelajar di luar bandar.
“Ramai pelajar lepasan sekolah menengah kini memilih TVET sebagai laluan utama untuk melanjutkan pelajaran. Jika tiga tahun lalu hanya 190,000 pelajar mengikuti program ini, kini jumlahnya meningkat kepada 439,000 orang melibatkan 1,368 institusi TVET di seluruh negara,” katanya.
Katanya, perkembangan ini menandakan perubahan besar dalam ekosistem pendidikan negara, di mana laluan konvensional yang menekankan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum melanjutkan ke universiti kini digantikan dengan fokus TVET.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada program Chit Chat MADANI anjuran Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (Backbenchers Club-BBC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi di Bangunan Parlimen, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan menegaskan, kadar kebolehpasaran graduan bagi institusi TVET di bawah kementeriannya adalah tinggi, iaitu 98.7 peratus, manakala Akademi Binaan Malaysia di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mencatatkan 100 peratus.
“Walaupun gaji minimum nasional ditetapkan RM1,700, graduan yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 TVET menerima gaji premium sekitar RM2,500. Kerajaan memberi perhatian khusus kepada TVET, terutamanya untuk pelajar luar bandar,” katanya.
Tambahnya, kerajaan akan terus menempatkan TVET sebagai salah satu bidang utama dalam memacu transformasi ekosistem tenaga kerja belia negara.
Menurut Ahmad Zahid, ketika beliau dilantik sebagai pengerusi Majlis TVET Kebangsaan, peruntukan bagi TVET yang diagihkan di bawah 12 kementerian berjumlah RM6.8 bilion. Setahun kemudian, jumlah itu meningkat kepada RM7.5 bilion dan akan naik lagi kepada RM7.9 bilion pada tahun depan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini jelas menunjukkan kerajaan memberi perhatian serius terhadap pembangunan TVET di negara ini,” katanya. – UTUSAN










