SANTIAGO: Raja pecut Belanda, Harrie Lavreysen menambah koleksi kejuaraan dunia selepas mempamerkan kelas tersendiri untuk memenangi acara keirin bat kali ke-18 di Kejohanan Dunia Berbasikal Trek, semalam.
Pelumba berusia 27 tahun itu yang sudah memiliki lima pingat emas Olimpik, sekali lagi membuktikan dominasinya apabila mendahului dua pusingan terakhir untuk meraih gelaran dunia keempat dalam disiplin tersebut.
Australia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak menerusi Leigh Hoffman, manakala rakan sepasukan Lavreysen, Jeffrey Hoogland membawa pulang gangsa.
Kejayaan itu turut melengkapkan kutipan empat pingat emas buat pasukan Belanda di Santiago selepas Lavreysen dan Hoogland turut membantu kejayaan dalam acara pecut berpasukan.
Dalam acara penyingkiran wanita, pelumba Ireland, Lara Gillespie mencipta sensasi apabila menewaskan dua kali juara Olimpik, Katie Archibald untuk merangkul gelaran dunia pertamanya.
“Saya sangat bangga dengan pencapaian ini dan dengan pasukan kecil kami di sini. Saya hanya fokus, tenang dan terus percaya pada diri sendiri,” Gillespie.
Denmark pula mengekalkan kejuaraan acara kejar-mengejar berpasukan lelaki buat tahun ketiga berturut-turut selepas menewaskan Australia dengan kelebihan tiga saat.
Sementara itu, kejutan berlaku apabila juara bertahan dua kali dari Britain, Emma Finucane disingkirkan pada suku akhir pecut wanita selepas didapati bersalah kerana perlanggaran dengan Iana Burlokova. – AGENSI









