ISKANDAR PUTERI: Detik penuh debar mewarnai pentas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 apabila pelumba Britain, Zeb Kyffin mewakili pasukan Unibet Tietema Rockets menawan peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, sebentar tadi.
Kyffin menamatkan saingan sejauh 214.9 kilometer, peringkat terpanjang edisi kali ini, dengan catatan masa empat jam 37 minit 39 saat, hanya dua saat di hadapan pelumba Terengganu Cycling Team(TSG) Muhammad Nur Aiman Rosli yang menamatkan di kedudukan kedua.
Kemenangan itu bukan datang dengan mudah apabila drama bermula di baki 10 kilometer terakhir apabila Kyffin dan Aiman memisahkan diri daripada peloton dalam percubaan berani mengekalkan kelebihan.
Namun, di baki 400 meter terakhir, pelumba Britain itu membuktikan ketenangan dan kekuatan pecutannya untuk menjarakkan diri sebelum melintasi garisan penamat.
Sementara itu,Pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, 10 saat di belakang juara.
Jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan kekal milik pelumba pasukan TotalEnergies, Joris Delbove dengan masa terkumpul 23 jam 27 minit 28 saat, diikuti rakan sepasukannya Yannis Voisard dan pelumba Uno X Mobility, Anders Halland Johannessen, masing-masing enam saat di belakang.
Erlend Blikra dari pasukan Uno X Mobility terus mempertahankan jersi jingga Raja Pecut dengan 55 mata, manakala Patrick Eddy yang mewakili Picnic PostNL kekal menguasai jersi polka dot (Raja Bukit) berkongsi 15 mata dengan Jambaljamts Sainbayar dari Burgos Burpellet BH.
Nicolas Vinoukorov dari XDS Astana pula mengekalkan jersi putih selaku pelumba terbaik Asia, diikuti Sainbayar dan Thanakhan Chaiyasombat dari Thailand Continental Cycling.
LTdL 2025 bakal menutup tirainya esok menerusi peringkat kelapan sejauh 180.2km dari Tangkak ke Kuala Lumpur, yang menjanjikan saingan sengit di tiga zon pecutan dari Alor Gajah, Seremban dan Semenyih serta tiga pendakian utama di Setul, Bukit Hantu dan Ampang Look Up Point.-UTUSAN