KPYPJ dinaik taraf jadi kolej universiti

KPYPJ dinaik taraf jadi kolej universiti

ONN Hafiz Ghazi bergambar bersama para graduan pada Majlis Konvensyen Kumpulan Pendidikan YPJ di Dewan Besar Kolej YPJ, Kota Tinggi, Johor hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kolej Pendidikan YPJ (KPYPJ) bakal dinaik taraf menjadi kolej universiti tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, naik taraf status kolej universiti bagi institusi pendidikan milik kerajaan negeri itu mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 7 Oktober lalu.

Menurutnya, kolej universiti tersebut bakal memulakan pengambilan pertama pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda bermula Februari tahun depan.

“Selanjutnya, saya akan membawa bagi perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi nama rasmi kolej universiti.

“Ini adalah satu kemenangan besar dari segi pendidikan kita di negeri Johor selari dengan titah Pemangku Sultan Johor yang mahu mengangkat mutu pendidikan di sini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KPYPJ berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen KPYPJ Ke-26, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Onn Hafiz memaklumkan, kerajaan negeri menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) komited mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang menawarkan gaji premium kepada golongan graduan.

Katanya, usaha itu mampu dilaksanakan hasil kerjasama syarikat-syarikat yang melabur di negeri itu, termasuk di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Mohd. Fahmi Salam berkata, seramai 884 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing dalam majlis yang berlangsung di Dewan Besar Kampus Induk Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN