SEREMBAN: Stadium Tuanku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai STAR di Paroi dekat sini akan naik taraf sejajar dengan perkembangan dan pencapaian sukan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerja naik taraf itu bertujuan memberi keselesaan kepada pengguna dan penonton stadium yang berusia lebih 30 tahun itu.
Beliau berkata, antara kerja yang akan dilaksanakan ialah ialah mengecat, naik taraf bilik persalinan dan lampu limpah.
“Kira-kira RM5 juta akan dibelanjakan dan ia dijangka siap dalam tempoh enam bulan,” katanya di sini hari ini.
STAR dibina dengan kos sekitar RM15 juta dan dibuka secara rasmi pada 23 April 1992.
Semasa dibuka stadium yang dinamakan sempena Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad mempunyai kapasti menampung sehingga 20,000 penonton.
Jumlah itu ditingkatkan kepada 45,000 orang sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2004 tetapi kini kembali kepada sehingga 25,000 penonton berikutan kerja ubah suai dan naik taraf.
Selain bola sepak, STAR pernah tuan rumah pertunjukan TATU Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia pada 30 Jun 2011 serta perlawanan antarabangsa kelayakan Piala Dunia 2018 pada 2016 dan 2017.
Semasa kejohanan Liga Super musim ini membuka tirai pada Ogos tahun lalu, jumlah penonton STAR mencatatkan kehadiran penuh dengan lebih 25,000 tiket habis dijual.
Aminuddin berkata, kerajaan berharap harga tiket untuk menonton perlawanan bola sepak Liga Super di STAR tidak akan meningkat berikutan kerja naik taraf tersebut.
Beliau memberitahu, secara keseluruhannya, STAR merupakan aset sukan utama negeri ini yang telah beroperasi lebih tiga dekad lalu dan memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan negeri serta penganjuran acara berimpak tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa. – UTUSAN










