BUKIT MERTAJAM : Sebanyak dua buah klinik desa di Pulau Pinang telah dinaik taraf dengan kos melebihi RM1.28 juta dalam usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan rakyat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, dua buah klinik desa itu ialah Klinik Desa Pinang Tunggal dan Klinik Desa Permatang Janggus yang terletak dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU), dekat sini.
Beliau berkata, kerja-kerja penaiktarafan itu dilakukan dalam masa tujuh bulan bermula Mei tahun lepas dan ia dibuat secara menyeluruh termasuk menerusi penambahbaikan bumbung serta sistem pendawaian elektrik memandangkan kedua-dua bangunan klinik desa berkenaan telah uzur.
“Selain itu, penaiktarafan juga melibatkan kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan sokongan lain manakala beberapa kemudahan dalaman klinik seperti ruang menunggu, kaunter pendaftaran, bilik pemeriksaan dan sebagainya turut dipertingkatkan untuk memberi lebih keselesaan kepada pengguna,” katanya.
Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat dan meninjau kedua-dua buah klinik desa berkenaan yang telah beroperasinya sepenuhnya sejak penghujung tahun lepas.
Memperincikan perkara berkenaan, Daniel berkata, projek penaiktarafan bagi Klinik Desa Pinang Tunggal melibatkan kos sebanyak RM649,000 dengan keluasan lantai bangunan yang ditingkatkan daripada 81.32 kepada 128.7 meter persegi.
Katanya, klinik terbabit mula beroperasi sejak 1979 dan ketika ini, ia telah memberikan perkhidmatan kepada kira-kira 16,600 orang penduduk yang melibatkan 1,810 buah rumah.
“Sementara itu, projek penaiktarafan bagi Klinik Desa Permatang Janggus yang mula beroperasi sejak 1967 pula melibatkan peruntukan sebanyak RM635,500 dengan keluasan lantai bangunan ditingkatkan daripada 76.44 kepada 128.7 meter persegi.
“Ketika ini, seramai 3,836 orang penduduk daripada 822 buah rumah di kawasan sekitarnya sedang mendapatkan perkhidmatan di klinik ini,” ujar beliau.
Tambah Daniel, kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyokong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) untuk terus memperkukuh sistem kesihatan awam sekali gus memastikan fasiliti kesihatan di seluruh negeri termasuk di luar bandar berada dalam keadaan selamat, selesa dan kondusif sepanjang masa.-UTUSAN










