PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan besar melebihi RM580 juta bagi pembangunan sukan negara di bawah Belanjawan 2026, iaitu lebih dua kali ganda berbanding jumlah tahun sebelumnya.
Langkah itu menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkasa atlet negara dan memupuk semangat kebangsaan melalui kejayaan sukan.
Sebagai perbandingan, Belanjawan 2025 memperuntukkan RM230 juta, manakala RM224 juta disalurkan pada tahun 2024.
Peningkatan ketara ini menunjukkan kesungguhan kerajaan memastikan pembangunan sukan diberi tumpuan utama dalam agenda nasional.
Peruntukan baharu itu akan meliputi pemerkasaan program berprestasi tinggi seperti Road to Gold (RTG), persediaan menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027, sokongan kepada atlet para dan sukan orang pekak, serta penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan sukan di seluruh negara, termasuk padang sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melahirkan bakat muda di peringkat akar umbi.
Pengumuman ini hadir selepas kejayaan membanggakan atlet negara di pentas antarabangsa, antaranya pingat emas oleh Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan pingat perak oleh Pearly Tan-M. Thinaah di Kejohanan Badminton Dunia, selain kejayaan Datuk Latif Romly yang sekali lagi mencipta sejarah apabila memecahkan rekod dunia miliknya sendiri di Kejohanan Olahraga Para Dunia.
Malaysia turut mencipta sensasi di Sukan SEA Pekak 2025 apabila muncul juara keseluruhan dengan kutipan 25 pingat emas, 16 perak dan 11 gangsa, sekali gus mengukuhkan reputasi negara sebagai kuasa sukan serantau.
“Ayuh kita berikan tepukan paling gemuruh kepada semua wira dan wirawati negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” kata Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Selain sukan, Belanjawan 2026 turut memberi tumpuan kepada sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, termasuk pengecualian cukai pendapatan 50 peratus kepada syarikat yang menganjurkan acara antarabangsa.
Kerajaan juga membenarkan organisasi diluluskan LHDNM menggunakan sebahagian pendapatan mereka untuk aktiviti sukan, sekali gus menggalakkan penglibatan lebih luas sektor swasta dalam memacu pembangunan sukan negara.-UTUSAN