GEORGE TOWN : Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM1.088 bilion sebagai Belanjawan 2026 dengan merekodkan catatan nilai defisit terendah dalam sejarah negeri itu iaitu berjumlah RM19.92 juta.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, belanjawan kali ini dirangka bagi memastikan pengurusan fiskal negeri kekal berhemah, mampan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat selaras dengan Visi Penang2030 dan aspirasi Malaysia Madani.
Menurut Kon Yeow, daripada keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM1.051 bilion diperuntukkan bagi Perbelanjaan Bekalan, RM37.07 juta bagi tujuan Perbelanjaan Tanggungan manakala RM265 juta disalurkan ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri (KWPN) bagi menampung komitmen pembangunan berjumlah RM318.62 juta.
“Justeru, dengan mengambil kira anggaran hasil negeri RM1.068 bilion berbanding anggaran perbelanjaan sebanyak RM1.088 bilion, maka, belanjawan tahun 2026 menyaksikan anggaran defisit terendah dalam sejarah Belanjawan Negeri Pulau Pinang iaitu sebanyak RM19.92 juta berbanding unjuran defisit tahun 2025 iaitu sebanyak RM33.63 juta,” ujarnya.
Kon Yeow (PH-Padang Kota) berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Jelas beliau, perbelanjaan mengurus melibatkan emolumen berjumlah RM226.73 juta diikuti oleh perkhidmatan dan bekalan sebanyak RM200.51 juta, aset (RM3.59 juta), pemberian dan bayaran tetap (RM645.73 juta) serta perbelanjaan lain iaitu sebanyak RM11.38 juta.
“Oleh itu, secara perbandingannya, anggaran Perbelanjaan Mengurus pada tahun 2026 menunjukkan peningkatan sebanyak RM147.72 juta atau 15.71 peratus berbanding tahun 2025,” katanya.
Tambah Kon Yeow, seperti lazimnya, hasil bukan cukai dijangka terus menjadi penyumbang utama kepada hasil negeri melalui unjuran terimaan bayaran premium dan bayaran khas, selain faedah pelaburan yang memberi pulangan yang konsisten.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri juga menjangkakan peningkatan hasil cukai, terutama cukai langsung melalui kadar baharu cukai tanah mulai 2026.
“Sungguhpun begitu, kerajaan negeri akan memperkenalkan rebat cukai tanah bagi memastikan pemilik tanah tidak terkesan dengan kadar cukai baharu tersebut,” katanya.-UTUSAN










