KUALA TERENGGANU: Keluarga kepada aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF), Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik melahirkan rasa syukur dan lega selepas menerima khabar bahawa semua aktivis yang ditahan Israel dibebaskan dan selamat tiba di Turkiye, semalam.
Abang sulungnya, Mohd; Faizul, 40, berkata, ahli keluarganya kini berkumpul di Kuala Lumpur dan berada di sana sehingga kepulangan Muhammad, 32, ke tanah air.
“Alhamdulillah, kami sekeluarga sangat lega apabila mendapat maklumat bahawa semua aktivis termasuk adik saya dilepaskan. Sekarang kami cuma menunggu ketibaan mereka pulang ke Malaysia. Buat masa ini kami kekal bertenang dan menunggu pengesahan rasmi daripada Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC),” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohd. Faizul, dia tiba di Kuala Lumpur tengah hari semalam manakala ibu serta tiga lagi adiknya telah berada di ibu negara sejak Jumaat lalu untuk mengikuti perkembangan misi kemanusiaan itu.
“Semua keluarga berkumpul di Kuala Lumpur kerana mahu sama-sama menantikan berita rasmi dan menyambut kepulangan adik saya nanti,” ujarnya.
Sementara itu, menerusi siaran langsung saluran berita utama Turkiye, TRT Haber, kelibat rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF dirakam turun dari pesawat Turkish Airlines bersama aktivis Turkiye yang lain.
Antara yang kelihatan ialah Muhammad bersama pendakwah selebriti, PU Rahmat Ikhsan yang dilihat tersenyum serta melambaikan tangan ke arah pengamal media dan orang awam di Lapangan Terbang Istanbul. – UTUSAN










