PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan 3-0 ke atas Laos pada aksi ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2026 di Stadium Nasional, Vientiane, sebentar tadi.
Meskipun dilanda isu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan tujuh pemain warisan negara, namun ia tidak menggugat semangat pemain negara untuk mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan kelayakan tersebut.
Pada aksi berdepan Laos yang berada di ranking 185 dunia, skuad kebangsaan bermula garang apabila hampir membuka tirai jaringan menerusi percubaan Arif Aiman Hanapi di dalam kotak penalti namun ia tersasar di sebelah kiri pintu gol Laos.
Anak buah Peter Cklamovski yang lebih menguasai permainan dan banyak melakukan asakan ke kubu Laos turut memperoleh peluang terutama menerusi percubaan Romel Morales di depan pintu gol yang tertampan pertahanan lawan.
Skuad negara terus buntu untuk mendapatkan jaringan pembukaan apabila beberapa peluang dan percubaan yang dilakukan selepas itu juga gagal menembusi gawang gol Laos yang dikawal Kop Lokphathip.
Bersambung babak kedua, jaringan yang dinantikan skuad Harimau Malaya akhir tiba pada minit ke-54 menerusi ledakan Arif Aiman.
Kapten skuad kebangsaan, Dion Cools turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-69 selepas menyudahkan hantaran lintang Corbin Ong.
Pemain gantian, Faisal Halim yang dimasukan pada masa kecederaan ketika perlawanan berbaki enam minit melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia menerusi gol ketiga.
Kemenangan itu memastikan Malaysia mengekalkan rekod bersih dengan mengumpul sembilan mata menerusi tiga kemenangan pada saingan kelayakan kumpulan F.
Aksi seterusnya, Laos akan berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Oktober ini untuk aksi timbal balik.-UTUSAN