Kane direhatkan lawan Wales

Kane direhatkan lawan Wales

Harry Kane disahkan tidak akan diturunkan di Wembley selepas mengalami hentakan ketika aksi terakhir bersama Bayern Munich. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: England terpaksa beraksi tanpa kapten mereka, Harry Kane apabila menentang Wales dalam aksi persahabatan esok, namun pengurus Thomas Tuchel menegaskan skuadnya perlu mengekalkan momentum selepas kemenangan 5-0 ke atas Serbia minggu lalu.

Kane, yang menjaringkan 18 gol dalam 10 penampilan bersama kelab dan negara musim ini, disahkan tidak akan diturunkan di Wembley selepas mengalami hentakan ketika aksi terakhir bersama Bayern Munich.

Tuchel bagaimanapun yakin penyerang berbisa itu akan kembali cergas menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Latvia pada Selasa depan.

“Harry akan terlepas perlawanan ini. Dia mendapat terjahan ketika bermain untuk Bayern dan terlalu berisiko jika dia terkena lagi, menyebabkan kesakitan berulang.

“Kami yakin dia akan bersedia untuk aksi menentang Latvia nanti.” kata Tuchel.

Jurulatih Jerman itu turut mempertahankan keputusannya meninggalkan nama besar seperti Jude Bellingham, Phil Foden dan Jack Grealish bagi memberi peluang kepada pemain yang menunjukkan komitmen tinggi pada kem latihan terdahulu.

Tuchel berkata, keputusannya bukan bersifat penyingkiran kekal, sebaliknya ganjaran kepada pemain yang membantu England tampil cemerlang di Belgrade.

“Keputusan ini untuk memberi ruang kepada mereka yang hadir kali ini, bukan menolak pemain lain. Kami ada kumpulan besar dan perlu buat pilihan yang adil.

“Kita tidak boleh turunkan kesebelasan sama setiap perlawanan, persaingan sihat inilah yang akan menguatkan pasukan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Wales, Craig Bellamy mengakui kekuatan England sangat luar biasa, namun berjanji anak buahnya tidak akan menjadi pelancong di Wembley.

“Kami datang bukan sebagai pelawat untuk menikmati suasana, tapi untuk tunjukkan kemampuan sebenar pasukan ini,” kata Bellamy. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN