WOLVERHAMPTON: Kemenangan 4-3 Chelsea ke atas Wolves dalam saingan pusingan keempat Piala Liga awal pagi tadi tercalar apabila penyerang muda Liam Delap diarah keluar padang selepas menerima dua kad kuning dalam tempoh hanya tujuh minit.
Delap, yang baru pulih daripada kecederaan hamstring panjang, dimasukkan sebagai pemain gantian namun gagal mengawal emosi apabila menumbangkan Yerson Mosquera sebelum melakukan terjahan berbahaya ke atas Emmanuel Agbadou.
Insiden itu menandakan kad merah keenam Chelsea dalam sembilan perlawanan musim ini, sekali gus mengundang kemarahan pengurus, Enzo Maresca yang menyifatkan tindakan anak buahnya itu sebagai cuai dan memalukan.
“Hari ini kami dapat satu kad merah yang sangat bodoh dan tidak perlu sama sekali, ia benar-benar memalukan, dua kad kuning dalam tujuh minit, kedua-duanya boleh dielakkan.
“Saya sudah ingatkan dia empat atau lima kali supaya bertenang selepas kad kuning pertama, tapi dia seperti bermain untuk dirinya sendiri dan tidak mampu mendengar arahan,” kata Maresca.
Kemenangan dramatik itu membawa Chelsea ke suku akhir menentang Cardiff, namun kad merah Delap sedikit mencacatkan malam gemilang The Blues yang hampir dikejutkan kebangkitan Wolves di penghujung permainan.
Gol Andrey Santos, Tyrique George, Estevao Willian dan Jamie Gittens memberikan Chelsea kelebihan selesa sebelum dua jaringan lewat David Wolfe hampir meragut kemenangan mereka.- AGENSI










