PETALING JAYA: “Kalau ia membantu semua pihak tidur lena setiap malam untuk mempersalahkan saya, dengan keseluruhan apa sedang berlaku saya terima dengan hati terbuka”.
Itu penegasan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail tentang keadaan sedang berlaku melibatkan hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan baharu Harimau Malaya.
Baginda turut bersedia menerima apa juga kritikan atau pun mana-mana pihak yang mahu menyalahkannya dalam isu berkenaan dan mengharapkan yang terbaik buat Harimau Malaya.
Tunku Mahkota Ismail juga sentiasa bersikap terbuka untuk menerima apa juga persepsi daripada pihak luar walaupun ia bersifat negatif.
“Saya berharap selepas ni, kita akan berjuang dan mengharapkan yang terbaik buat pasukan kebangsaan, FAM dan juga pemain yang tidak bersalah. Saya harap satu hari nanti mereka dapat mewakili negara mereka.
“Lagi sekali saya ingin ulang untuk kali terakhir, tuan-tuan dan puan-puan, jikalau ia membantu anda untuk tidur lena setiap malam untuk mempersalahkan saya dalam isu ini, saya terima dengan hati terbuka. Terima kasih,” katanya.
Terdahulu, FAM dan tujuh pemain warisan terbabit dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Pemain terlibat ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
FAM juga sudah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dan keputusan berkaitan dijangka akan diumumkan Khamis ini.-UTUSAN










