MANDALIKA: Marc Marquez berharap peminatnya tidak menyimpan dendam terhadap Marco Bezzecchi ekoran pelanggaran di Grand Prix (GP), Indonesia, kelmarin.
Bezzecchi yang memenangi perlumbaan pecut di Litar Mandalika melanggar belakang jentera Ducati Marquez ketika masuk ke selekoh laju tujuh pada pusingan pertama.
Impak insisen itu berisiko menyebabkan juara dunia itu patah bahu kanan, namun setakat ini tiada pengesahan lanjut tentang kecederaan yang dialami.
Marquez tercampak ke tanah serta-merta sebelum bergolek dengan kuat ke dalam perangkap kerikil, manakala Bezzecchi turut terjatuh selepas terbabas.
Pelumba Aprilia itu bangun dan segera memeriksa keadaan Marquez yang kelihatan memegang lengan kanannya sambil memberi isyarat ke arah bahunya.
Ducati mengesahkan terdapat keretakan, sama ada pada tulang dan atau ligament serta pemeriksaan perubatan lanjut akan dilakukan sebaik Marquez kembali ke Madrid.
“Bukan cara terbaik untuk meraikan kejuaraan tapi beginilah dunia perlumbaan. Hari ini (semalam) kami akan terbang ke Madrid dan doktor akan menilai keadaan.
“Tolong, jangan ada perasaan marah terhadap Marco, tiada siapa yang sengaja melakukannya. Terima kasih atas sokongan anda semua,” tulis Marquez di laman sosial miliknya. – AGENSI