PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar undang-undang, mengganggu ketenteraman awam atau mencetuskan ancaman keselamatan semasa perhimpunan aman.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, pihaknya menyeru semua pihak agar mematuhi peraturan dan undang-undang ketika berhimpun serta bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.
“KDN kekal komited untuk memperkukuh peranan menjaga keselamatan dalam negeri, melindungi kepentingan rakyat dan memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Hak berhimpun secara aman adalah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Namun, hak tersebut mesti dilaksanakan secara tertib, berhemah dan mematuhi undang-undang tanpa menjejaskan keselamatan awam, mengganggu ketenteraman masyarakat atau menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas rasmi.
“KDN menyokong penuh tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tegas serta berlandaskan undang-undang demi menjamin ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan akhbar, malam tadi.
Semalam, tular dalam media sosial cubaan menghalang anggota PDRM menjalankan tugas semasa mengawal perhimpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di ibu negara.
Insiden sekitar pukul 12.00 tengah hari itu, melibatkan satu perhimpunan aman dihadiri lebih 50 peserta yang berlangsung di lokasi berkenaan.
Keadaan menjadi tegang apabila terdapat cubaan menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak, menyebabkan kekecohan dan seorang anggota polis mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas.
Susulan itu, PDRM menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 32 tahun bagi membantu siasatan kerana menghalang tugas penjawat awam dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










