Influenza: MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi benar pelajar pulang sehingga 26 Oktober

Influenza: MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi benar pelajar pulang sehingga 26 Oktober

MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas, Pulau Pinang telah membenarkan pelajar tingkatan satu hingga empat pulang ke rumah masing-masing sehingga 26 Oktober ini sebagai sebahagian daripada langkah untuk membendung penularan influenza.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini membenarkan pelajar tingkatan satu hingga empat pulang ke rumah masing-masing bermula hari ini sehingga 26 Oktober ini.

Difahamkan, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk membendung penularan jangkitan influenza di MRSM berkenaan.

Berdasarkan surat rasmi yang dikongsi di laman Facebook MRSM terbabit, sepanjang tempoh tersebut, pelajar juga akan mengikuti kelas secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Para ibu bapa dan waris diminta memastikan anak-anak mengikuti PdPR mengikut jadual. Sama-sama kita putuskan rantaian influenza. Pelajar tingkatan 5 akan mengikuti kelas seperti biasa,” jelas kenyataan dalam surat rasmi itu yang ditandatangani oleh Pengetuanya, Fazli Abu Bakar.

Sehingga ini, jumlah pelajar atau kakitangan yang dijangkiti influenza di MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi itu bagaimanapun masih belum dapat dipastikan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen sebelum itu dilaporkan berkata, tahap penularan jangkitan influenza di Pulau Pinang masih kekal terkawal.

Justeru katanya, pemakaian pelitup muka terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah masih belum diwajibkan buat masa ini.

Katanya, berdasarkan analisis terkini, tren aktiviti Survelan Influenza Like Illness (ILI) berasaskan klinikal dari Minggu Epid (ME) 32 hingga ME 37 tahun 2025 menunjukkan kadar antara 9.5 hingga 10.5 peratus dan tidak mencatatkan peningkatan ketara.

“Survelan ILI berasaskan makmal pula mencatat sedikit peningkatan kadar positif iaitu antara 26.7 hingga 28.9 peratus dengan Influenza A sebagai strain dominan.

“Namun begitu, kadar positif ini masih lebih rendah berbanding tempoh sama pada tahun 2024 iaitu antara 35.6 hingga 51.1 peratus,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN