'I Lite U' terangi Kuala Lumpur

‘I Lite U’ terangi Kuala Lumpur

NGA Kor Ming (tiga dari kiri) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif ketika gimik majlis pelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar 'I Lite U' di Pavilion, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, ibu kota bakal dilimpahi cahaya menerusi inisiatif pencahayaan hiasan bandar yang dirangka bagi memperkukuh identiti malam Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Pelancongan Bertaraf Antarabangsa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek yang diberi nama ‘I Lite U’ dengan konsep pencahayaan yang moden, harmoni dan beridentiti tempatan bagi meningkatkan imej kawasan Kuala Lumpur khususnya Bukit Bintang sebagai destinasi pelancongan malam utama negara.

Beliau berkata, projek itu turut menyokong promosi dan kempen TMM 2026 melalui elemen pencahayaan ikonik, selain memastikan perancangan pencahayaan bandar diselaraskan dengan dasar Bandar Kuala Lumpur Ceria, Selamat dan Berdaya Huni.

“KPKT akan memperuntukkan sejumlah RM2 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memperkasakan lagi infrastruktur dan ruang awam bandar.

“Projek ‘I Lite U’ bukan sekadar memperindah pencahayaan malam di Bukit Bintang tetapi menjadi simbol transformasi Kuala Lumpur sebagai bandar raya moden yang mesra pelancong dan beridentiti.

“Kita mahu mewujudkan suasana yang bukan sahaja indah dan selamat, tetapi juga membangkitkan rasa bangga terhadap keunikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya Malaysia Madani,” katanya ketika berucap sempena majlis pra pelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar ‘I Lite U’ di Pavilion, di sini hari ini.

Cadangan Reka Bentuk Pencahayaan ‘I Lite U’ menampilkan empat komponen utama iaitu di Pintu Gerbang, Crossing Baharu (New Crossing), Crossing Sedia Ada (Existing Crossing) dan Arca TMM 2026

Kor Ming berkata, melalui projek itu, beliau menyasarkan kehadiran 47 juta pengunjung dengan sasaran keuntungan RM329 juta sempena TMM tahun depan.

Jelasnya, pelaksanaan projek ini turut mendapat Kerjasama daripada Pavillion dan Bukit Bintang Kuala Lumpur City Centre Tourism Association (BBKLCC).

“Inisiatif ini merupakan contoh terbaik kolaborasi antara sektor awam dan swasta dalam menjayakan aspirasi TMM 2026, sekali gus menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke ibu negara.

“Majlis pelancaran rasmi Projek ‘I Lite U Bukit Bintang’ akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Januari 2026, menandakan simbolik sinaran baharu bagi landskap malam Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN