Harap penyokong, pengkritik sabar sikit- Nidzam

Harap penyokong, pengkritik sabar sikit- Nidzam

PENYERANG Import Negeri Sembilan FC, Jovan Motika antara tonggak pasukan yang memberi impak besar kepada pasukan kendalian Nidzam Jamil.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil, memohon penyokong bersabar dan memberi ruang kepada pasukan yang kini dalam proses membina identiti permainan tersendiri selepas tersingkir daripada saingan Piala FA, kelmarin.

Meskipun menang 3-2 ke atas Selangor FC pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), skuad Hobin Jang Hobin tetap gagal ke separuh akhir selepas tewas dengan agregat 3-6 susulan kekalahan 0-4 di Paroi pada 18 Oktober lalu.

Nidzam berkata, dia berpuas hati dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya yang tampil lebih berani dan menunjukkan peningkatan berbanding aksi pertama.

“Saya rasa ini perlawanan yang menghiburkan, lima gol, aksi terbuka, dan kedua-dua pasukan mahu menang. Dari sudut bola sepak, ia menyeronokkan untuk penyokong.

“Cuma, kita sedikit ralat kerana tidak dapat mara ke separuh akhir. Tapi saya gembira dengan cara pemain bermain, mereka berani mengambil risiko dan mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Negeri Sembilan bermula garang apabila mendahului 2-0 pada awal babak pertama, namun gol Selangor di hujung separuh masa pertama mengubah rentak permainan.

“Saya memang rancang untuk mendahului 2-0 pada separuh masa pertama. Tapi bila Selangor jaringkan gol sebelum rehat, landskap permainan berubah.

“Walaupun begitu, potensi pasukan ini besar, saya harap penyokong dan pengkritik boleh bersabar sedikit. Projek ini perlu masa, dan kami sedang membina sesuatu yang berbeza untuk Negeri Sembilan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN