Hakim Danish catat masa ke-11 terpantas, layak ke Q2

Hakim Danish catat masa ke-11 terpantas, layak ke Q2

AKSI Pelumba AEON CREDIT SIC Racing MSI, Hakim Danish pada sesi latihan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Malaysia 2025 di Petronas Litar Antarabangsa Sepang di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berjaya mencipta keputusan sensasi apabila menempatkan dirinya di dalam kelayakan 2 (Q2) selepas menamatkan sesi latihan Moto3 di kedudukan ke-11 pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, hari ini.

Dengan catatan masa sepusingan 2 minit 11.820 saat (s), sudah memadai buat pelumba ‘wild card’ yang mewakili pasukan AEON Credit SIC Racing MSI itu layak secara automatik ke Q2, tanpa perlu beraksi di dalam Q1, esok.

Hanya 14 pelumba terbaik akan layak secara automatik ke Q2, manakala, pelumba yang gagal berada di kelompok tersebut perlu bersaing dalam kelayakan 1 (Q1).

Pelumba Red Bull KTM Ajo, Jose Antonia Rueda muncul sebagai pelumba terpantas dengan lakaran masa 2:11.152s, manakala, rakan sepasukannya, Alvaro Carpe di kedudukan kedua (2:11.187s) dan Brian Uriate yang mewakili pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP di tempat ketiga (2:11.202s).

Pada sesi latihan bebas pertama (FP1) yang berlangsung sebelah pagi, Hakim Danish berada di tangga kelapan dengan catatan masa sepusingan 2:11.317s.

Sementara itu, dalam sesi latihan bagi kelas Moto2, dua pelumba ‘wild card’ Malaysia yang mewakili pasukan Petronas MIE Racing RW, Azroy Hakeem Anuar dan Muhammad Helmi Azman seperti dijangka mencatat kedudukan tercorot.

Azroy yang mencipta masa sepusingan 2:07.953s berada di tangga ke-29, manakala, Helmi di tempat ke-30 dengan lakaran masa sepusingan 2:08.279s.

Pelumba Sepanyol, Manuel Gonzalez yang mewakili pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP mendahului sesi tersebut dengan catatan masa terpantas 2:04.166s, manakala, Jake Dixon dari Great Britain di kedudukan kedua (2:04.218s) jdan Albert Arenas juga dari Sepanyol di tempat ketiga (2:04.282s.) – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN