SEPANG: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli enggan terlalu memikirkan perebutan grid menjelang sesi kelayakan, tetapi, sasarannya jelas kelompok hadapan menjadi buruan pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, esok.
“Untuk petak saya tak fikir, saya cuma akan ‘full gas’ terus, esok. Kita akan lihat dekat kelayakan 2 nanti, tengok posisi mana, tak kiralah dia juara ke, dia apa ke, saya ‘full gas’ je,” katanya ketika ditemui pemberita di garaj pasukannya, Aeon Credit SIC Racing MSI di sini, hari ini.
Anak muda berusia 18 tahun itu melakar keputusan sensasi apabila berjaya berada di kedudukan ke-11 pada sesi latihan dengan catatan masa sepusingan 2 minit 11.820 saat (s) yang sekali gus melayakkan dia terus beraksi pada kelayakan 2 (Q2).
Sebagai pelumba ‘wild card’, keputusan itu sememangnya di luar dugaan, lebih-lebih lagi ini merupakan penyertaan sulung Hakim Danish pada GP Malaysia dan juga Kejuaraan Dunia.
Menurut Hakim, fokusnya memang kepada tiga pelumba utama dalam kelas Moto3 iaitu Jose Antonio Rueda, Alvaro Carpe dan Brian Uriarte.
Katanya, dia mengenali ketiga-tiga pelumba tersebut dan pernah bersaing bersama mereka dalam Piala Red Bull MotoGP Rookies.
“Cuma corak perlumbaan dalam Kejuaraan Dunia berbeza, tiga pelumba handalan itu saya tak nafikan memang laju, saya akan cuba adaptasi dengan cepat untuk bersaing dengan mereka,” katanya.
Hakim turut melahirkan keyakinannya bahawa dia mampu untuk bersaing dengan pelumba yang berada dalam kelompok hadapan.
“Saya tak rasa jurang kami terlalu jauh, saya berada cukup hampir dengan mereka. Daripada segi catatan masa pun tidak jauh,” katanya dalam nada yakin.
Mengulas pula mengenai jentera Moto3, anak jati Terengganu itu berkata, bagi menyesuaikan dengan motosikal KTM yang dipacunya, dia berusaha mengubah cara tunggangannya dan cuba memperbaiki ‘braking point’ serta bukaan gas apabila keluar selekoh.
“Kita ada pasukan yang buat penambahbaikkan daripada segi teknikal, kru ini sama dengan pasukan saya di JuniorGP, ketua kru juga sama, jadi, saya tidak berdepan masalah untuk berkomunikasi dengan mereka,” katanya.
Pelumba Red Bull KTM Ajo, Rueda muncul sebagai pelumba terpantas dengan lakaran masa 2:11.152s pada sesi latihan, manakala, rakan sepasukannya, Alvaro Carpe di kedudukan kedua (2:11.187s) dan Brian Uriate yang mewakili pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP di tempat ketiga (2:11.202s). – UTUSAN










