Wan Saiful ingatkan Bersatu jangan ‘besar kepala’

Wan Saiful ingatkan Bersatu jangan ‘besar kepala’

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghantar nama calon Menteri Besar Perlis dilabel sebagai tidak menghormati Pas.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, hubungan antara Bersatu dengan Pas adalah amat berharga dan tidak seharusnya dirosakkan dengan sikap angkuh atau ‘besar kepala’.

Katanya, perbincangan mengenai kemelut politik di Perlis juga perlu mengambil kira kedudukan Institusi Raja Perlis yang amat dihormati, disayangi dan sentiasa dekat dengan rakyat.

“Sebarang keputusan perlu mempertimbangkan pandangan istana kerana tanpa perkara tersebut, langkah yang diambil pasti tidak kena pada tempatnya. Saya ikuti secara dekat perkembangan politik di Perlis dan menegaskan walaupun kelihatan senyap, pergolakan politik di negeri itu bukan perkara baharu.

“Keadaan ini sepatutnya boleh diselesaikan dengan lebih teratur dan murni sekiranya jalan penyelesaian diusahakan lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, isu yang berlaku di Perlis melambangkan kelemahan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan individu di sekelilingnya kerana gagal membaca suasana.

Pada masa sama, Wan Saiful mempersoalkan cubaan mengalihkan tanggungjawab itu kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan mempertikaikan peranan Presiden sekiranya semua bebanan diserahkan kepada timbalan.

Selain itu, Wan Saiful mempersoalkan sama ada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pernah mengadakan sebarang mesyuarat bagi membincangkan situasi politik di Perlis.

“Pas sudah bertegas. Sekarang kita tunggu dan lihat apa tindakan Muhyiddin. Bersatu mesti mempunyai pendirian yang mencerminkan setia kawan. Jika tidak, itu bermakna Muhyiddin memberi restu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN