MELAKA: Sudah tiba masanya tindakan tegas diambil terhadap pelajar yang melanggar disiplin termasuk mengembalikan hukuman rotan di khalayak.
Kenyataan itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman susulan kes seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di negeri ini dipercayai menjadi mangsa rogol dua pelajar senior dalam kelasnya sendiri.
Rahmad berkata, hukuman rotan bukan bertujuan menyeksa tetapi sebagai tanda pengajaran agar pelajar tidak berani mengulangi kesalahan disiplin.
“Saya setuju hukuman rotan dikembalikan. Tetapi ia perlu dilaksanakan dengan tertib bukan untuk menyakiti, sebaliknya mendidik.
“Tujuan mendidik bukan menyeksa. Keras tapi tidak mencederakan, cukup untuk memberi ingatan kepada murid supaya tidak mengulangi kesalahan,” katanya.
Kejadian itu terbongkar petang semalam selepas ibu mangsa menerima maklumat daripada guru sekolah berhubung penyebaran video tidak senonoh membabitkan anak sulungnya sebelum membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah.
Insiden turut dirakam serta disaksikan dua pelajar lain.
Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.50 petang pada 2 Oktober lalu ketika mangsa berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran sains yang tertinggal.
Perintah reman selama enam hari telah diperoleh terhadap empat suspek bermula hari ini hingga 16 Oktober bagi membantu siasatan. – UTUSAN










