MELAKA: Kerajaan Melaka mengemukakan cadangan supaya hukuman rotan dilaksanakan semula di sekolah, termasuk memberi kebenaran kepada semua guru untuk merotan pelajar lelaki bagi menangani masalah disiplin dan ponteng.
Cadangan berkenaan merupakan antara 10 resolusi pendidikan negeri yang dirumus hasil libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan, merangkumi agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, peningkatan ketara kes ponteng sekolah serta kemerosotan sahsiah pelajar mendorong cadangan tersebut dibincangkan secara serius.
“Ramai berpandangan hukuman rotan wajar dipertimbangkan semula kerana pada masa lalu disiplin pelajar lebih terkawal dan rotan bukan untuk menghukum secara melampau, sebaliknya bertujuan mendidik dan cadangan ketika ini hanya dikenakan kepada pelajar lelaki.
“Jika Kabinet dan Kementerian Pendidikan memberi kelulusan, semua guru boleh diberi kuasa merotan, namun tertakluk kepada garis panduan dan had yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Peringkat Negeri Melaka Kali Ke-28 di Auditorium Al Azim, Bukit Palah, di sini hari ini.
Menurut Rahmad pada masa ini guru sering berdepan kekangan perundangan kerana berisiko dikenakan tindakan sekiranya ibu bapa membuat aduan berkaitan hukuman fizikal terhadap pelajar.
“Situasi ini menyebabkan guru berada dalam keadaan serba salah walaupun tindakan yang diambil bertujuan membentuk disiplin dan memperbetulkan tingkah laku pelajar.
“Sehubungan itu, antara syarat yang dicadangkan adalah keperluan mendapatkan persetujuan ibu bapa terlebih dahulu dan pelaksanaannya hanya melibatkan pelajar lelaki,” jelasnya. – UTUSAN










