KLUANG: Dua beranak maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 65 Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam, petang semalam, hanya beberapa meter dari simpang masuk ke rumah mereka di Kampung Bukit Kenangan, Simpang Renggam.
Mangsa, Rulijah Ahmad, 51, dan anaknya Salam, 15, maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi anak, Osama, 9, cedera parah dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini.
Suami mangsa, Norazli Abdullah, 49, berkata sebelum kejadian, isterinya bersama dua anak mereka keluar ke Simpang Renggam untuk bergunting rambut dengan menaiki Perodua Kancil.
“Saya tidak sangka tragedi di simpang kampung itu melibatkan keluarga saya sendiri. Hanya beberapa meter dari rumah… kerana kecuaian orang lain, saya kehilangan isteri dan anak sulung,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik HEBHK, malam tadi.
Menurutnya, bedah siasat terhadap kedua-dua jenazah dijalankan pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinggir selepas solat Zuhur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh, berkata kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.30 petang, melibatkan kereta Perodua Kancil dinaiki mangsa, sebuah van pekerja dipandu lelaki tempatan berusia 53 tahun dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu warga emas berumur 62 tahun.
“Siasatan awal mendapati kereta Kancil yang dipandu Rulijah berhenti untuk membelok ke kanan masuk ke kampung sebelum dilanggar dari belakang oleh van pekerja yang hilang kawalan. Impak pelanggaran menyebabkan kereta itu terbabas melintangi jalan dan dilanggar kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan,” katanya. – UTUSAN








