PETALING JAYA: Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya kemukakan dokumen palsu yang menjadi punca kesalahan dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia dan tujuh pemain warisan negara sehingga dijatuhkan hukuman.
Menerusi siasatan dilakukan FAM didapati bersalah menggunakan dokumen palsu dalam proses pendaftaran pemain warisan.
Menurut laporan rasmi bertajuk ‘Notification of the Grounds of the Decision’ bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.

Siasatan mendapati beberapa sijil kelahiran datuk dan nenek pemain yang dikemukakan oleh FAM tidak sepadan dengan rekod rasmi negara asal masing-masing.
“Perbezaan ketara antara sijil kelahiran asal dengan dokumen yang dikemukakan kepada pihak berkuasa Malaysia, dakwaan datuk atau nenek mereka lahir di Malaysia adalah tidak benar kerana dokumen asal yang diperoleh FIFA menunjukkan tempat kelahiran sebenar di negara seperti Argentina, Brazil, Sepanyol dan Belanda,” menurut kenyataan FIFA.
Dalam Lampiran 13 laporan itu, FIFA menyenaraikan asal-usul sebenar keluarga tujuh pemain terbabit:
Nenek Gabriel Felipe Arrocha dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol.
Datuk Facundo Tomas Garces berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina.
Datuk Rodrigo Julian Holgado dilahirkan di Buenos Aires, Argentina.
Nenek Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan, Argentina.
Datuk Joao Vitor Brandao Figueiredo berasal dari Abre Campo, Brazil.
Datuk Jon Irazabal Iraurgui lahir di Viscaya, Sepanyol.
Datuk Hector Alejandro Hevel Serrano dilahirkan di The Hague, Belanda.
Jelas FIFA, semua maklumat berkenaan disahkan melalui semakan rasmi dan tiada bukti sahih menunjukkan pemain-pemain terbabit mempunyai kaitan langsung dengan Malaysia.
Laporan itu turut menyebut bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya mengeluarkan salinan berdasarkan maklumat sekunder yang diterima, bukan berpandukan rekod kelahiran asal.
Tujuh pemain terlibat iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca kini dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
Susulan itu, FAM diperintahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FIFA, manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM11,000) serta penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak bermula tarikh keputusan dimaklumkan.-UTUSAN










