Derbi Pantai Timur soal maruah pasukan, semangat penyokong

Derbi Pantai Timur soal maruah pasukan, semangat penyokong

PEMAIN Terengganu menjalani sesi latihan bagi persediaan menentang Kelantan The Real Warriors FC (TRW) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.-IHSAN Terengganu FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Derbi Pantai Timur menentang Kelantan The Real Warriors FC (TRW) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, malam ini seharusnya menjadi medan kebangkitan Terengganu FC (TFC) selepas mencatat kekalahan minggu lepas.

Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berkata, hanya kemenangan mampu mengembalikan keyakinan pasukan dan penyokong setia yang mahu melihat skuad Penyu bangkit semula untuk terus bersaing dalam kelompok teratas saingan Liga Super.

“Kami wajib menang, tidak boleh lagi keciciran mata. Derbi Pantai Timur bukan sekadar tiga mata tetapi juga soal maruah pasukan dan semangat penyokong,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan petang semalam.

Katanya, ketiadaan tonggak lincah, Akhyar Rashid yang terpaksa direhatkan ekoran kecederaan buku lali ketika menentang Melaka FC memberi kesan kepada perancangan pasukan.

Katanya, pemain skuad kebangsaan itu juga dijangka terlepas dua hingga tiga perlawanan lagi.

“Akhyar belum cergas sepenuhnya, jadi kami tidak mahu ambil risiko. Dia baru menjalani rawatan intensif dan mungkin hanya kembali pada pertengahan bulan ini,” jelasnya.

Namun Badrul Afzan tidak menolak aura baharu pasukan hadir menerusi kelibat pemain import, Kyaw Min Oo yang sudah mula menjalani latihan bersama pasukan serta berkemungkinan besar diturunkan malam ini.

Katanya, kehadiran pemain tengah kelahiran Myanmar itu dilihat mampu menambah variasi dalam jentera pertahanan skuad Sang Penyu.

“Min Oo beri impak positif dari segi intensiti latihan. Kita tengok kesediaan dia, jika sesuai mungkin buat penampilan pertama bersama pasukan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui kelemahan utama pasukannya ialah penyudah yang tumpul sehingga peluang mudah sering dilepaskan, terutama pada minit-minit akhir perlawanan.

“Kami sudah perbaiki banyak aspek, tapi penyudah masih jadi isu. Itu yang saya tekankan kepada pemain, mereka perlu fokus sampai wisel penamat. Lawan macam TRW tak boleh bagi peluang langsung dan wajib menang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN