PORT DICKSON: Pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn menambah koleksi kemenangan apabila menjuarai peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Shah Alam ke Port Dickson, sebentar tadi.
Perlumbaan sejauh 123.5 kilometer itu menyaksikan ketiadaan pendahulu Raja Pecut, Matteo Malucelli dari pasukan XDS Astana yang terpaksa menarik diri selepas terbabit kemalangan pada awal saingan.
Situasi tersebut membuka ruang luas buat De Kleijn menamatkan kayuhan dalam masa 2 jam 32 minit 55 saat, sekali gus mengatasi Erlend Blikra (Uno X Mobility) dan Manuel Penalver Aniorte (Team Polti VisitMalta) pada penamat beramai-ramai.
Kejayaan itu menambah koleksi kemenangan peribadinya selepas mengungguli peringkat kedua dari Padang Besar ke Kepala Batas, sekali gus melonjakkan kedudukannya dalam perebutan jersi pecut.
Dengan Malucelli tersingkir, kedudukan jersi jingga kembali terbuka apabila Blikra kini mendahului dengan 45 mata, diikuti rapat De Kleijn (42) dan Penalver (37).
Sementara itu, kedudukan jersi hijau masih milik juara peringkat kelima, Joris Delbove dari TotalEnergies dengan catatan keseluruhan 18 jam 59 minit 29 saat, hanya berkelebihan enam saat ke atas Anders Halland Johannessen (Uno X Mobility) dan Adrien Maire (Unibet Tietema Rockets).
Jersi polka dot Raja Bukit kekal dipegang Patrick Eddy (Team Picnic PostNL) yang berkongsi 15 mata dengan Jambaljamts Sainbayar (Burgos Burpellet BH), manakala Delbove berada di tempat ketiga dengan 10 mata.
Bagi jersi putih, Nicolya Vinoukorov dari XDS Astana terus unggul sebagai pelumba Asia terbaik dengan catatan 18:49:40s, meninggalkan Sainbayar (18:50:22s) dan Thanakhan Chaiyasombat (Thailand Continental Cycling Team) 18:51:12s.
Esok, saingan peringkat ketujuh bakal menjadi pentas terpanjang dalam edisi kali ini dengan laluan sejauh 214.9 km dari Melaka ke Medini yang turut menawarkan tiga zon pecutan di Sungai Rambai, Semerah dan Pontian-UTUSAN