PETALING JAYA: Beberapa negeri di utara serta Pantai Timur Semenanjung diramal berdepan hujan dan ribut petir pada hari ini berdasarkan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Menurut MetMalaysia, kejadian ribut petir pada waktu pagi meliputi beberapa tempat di negeri Kedah, kawasan pantai di Pulau Pinang serta beberapa kawasan di Tawau dan Sandakan di negeri Sabah.
Namun, keadaan dijangka berubah menjelang petang dengan ribut petir di kebanyakan tempat di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, selain beberapa kawasan di Pahang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Negeri lain termasuk Perak, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pula berpotensi mengalami ribut petir di kawasan pedalaman selain beberapa tempat di Sabah seperti Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan dan Kudat serta beberapa tempat di Sarawak seperti Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang.
Pada sebelah malam, beberapa kawasan di Semenanjung dijangka terus menerima hujan dan ribut petir, khususnya di Kelantan, Pahang, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.
MetMalaysia turut melaporkan keadaan angin dan laut berada pada tahap sederhana di kebanyakan perairan negara termasuk kawasan utara dan selatan Selat Melaka serta Sabah di Laut China Selatan.
“Rantau negara kini menerima angin dominan dari arah Timur dengan kelajuan sederhana sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam, manakala kadar kelajuan angin di Sabah dan Sarawak ialah lemah sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam.
“Oleh itu, MetMalaysia tidak mengeluarkan sebarang amaran angin kencang dan laut bergelora pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu serta mengelakkan aktiviti luar semasa berlaku ribut petir bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kejadian tidak diingini. – UTUSAN









