KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti popular, Rozita Che Wan atau Che Ta mengakui masih belum berkesempatan merasa masakan menantunya, Auni Ikhwan, meskipun wanita itu sudah tiga bulan bergelar isteri kepada anaknya, Ammar.
Menurut Che Ta, 53, kesibukan masing-masing menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak kesempatan untuk meluangkan masa bersama, selain pasangan itu lebih banyak menghabiskan masa di kediaman sendiri.
“Belum sempat lagi saya rasa air tangan Auni. Kadang-kadang hujung minggu, anak saya akan hantar gambar dan beritahu isteri atau menantu saya sedang memasak. Saya tengok dan kata, ‘Wah, nampak sedap.’
“Tetapi belum ada kesempatan untuk saya merasa sendiri. Kadang-kadang mereka balik hujung minggu, saya pula tiada di rumah. Kalau saya ada, mereka pula mungkin makan di luar. Jadi, belum sampai masa lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pun begitu, Che Ta menegaskan dia tidak pernah menganggap kemahiran memasak sebagai perkara penting atau meletakkan sebarang tekanan kepada Auni untuk mahir di dapur.
Katanya, kebahagiaan rumah tangga tidak seharusnya diukur berdasarkan kebolehan seseorang wanita menyediakan hidangan untuk suami.
“Saya sebenarnya tidak kisah pun kalau menantu saya pandai memasak atau tidak. Bagi saya, apabila kita berkahwin, kita memang akan belajar menyesuaikan diri dengan pasangan.Dulu ketika saya berkahwin, saya belajar memasak mengikut cita rasa suami. Kita belajar masakan yang dia suka, termasuk daripada keluarga dan ibunya.
“Tetapi Ammar pula bukan seorang yang cerewet tentang makanan. Apa sahaja yang kita masak, dia boleh makan. Jadi, saya tidak pernah meletakkan tekanan kepada Auni untuk perlu pandai memasak atau memenuhi apa-apa standard tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, Che Ta mengakui hubungannya dengan Auni masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing memandangkan mereka belum mempunyai banyak kesempatan untuk melakukan aktiviti bersama.
Bagaimanapun, dia sentiasa berusaha mencipta ruang untuk mengeratkan hubungan sebagai ibu mentua dan menantu.
“Belum ada banyak sangat aktiviti bersama. Tetapi hari jadi Auni hari itu, saya ada raikan. Saya tanya dia mahu hadiah apa, tetapi dia sendiri tidak tahu hendak pilih apa.
“Dia kata tidak mengapa, nanti kita pergi membeli-belah bersama. Cuma belum sempat lagi kerana dia bekerja dan hujung minggu pun kadang-kadang sudah ada urusan masing-masing,” ujarnya.
Menurut Che Ta, Auni juga mempunyai persamaan dengan dirinya yang lebih gemar menghabiskan masa di rumah berbanding keluar bersiar-siar.
“Ammar sendiri pernah cakap Auni ini perangainya macam saya. Dia suka duduk di rumah dan suka mengemas rumah. Kalau hujung minggu, dia tidak mahu keluar dua hari berturut-turut. Kalau Sabtu keluar, Ahad dia akan duduk di rumah. Kalau Ahad keluar, Sabtu dia akan gunakan masa untuk mengemas, memasak, membasuh pakaian dan buat kerja rumah,” katanya.
Sementara itu, Che Ta berkata, ruang yang diberikan kepada Ammar dan Auni bukan bermakna dia mahu menjauhkan diri daripada kehidupan pasangan tersebut.
Sebaliknya, dia percaya hubungan antara ibu mentua dan menantu akan menjadi lebih baik apabila kedua-dua pihak saling memahami batas, menghormati privasi dan tidak terlalu mencampuri urusan rumah tangga pasangan muda.
“Saya rasa apabila kita beri mereka ruang, hubungan juga akan menjadi lebih baik. Mereka boleh datang bila-bila masa, kita boleh berjumpa dan berkumpul seperti biasa.
“Saya tidak mahu mereka rasa terikat hanya kerana mereka sudah menjadi sebahagian daripada keluarga kita. Mereka sudah berkahwin, jadi mereka juga perlu ada kehidupan dan ruang mereka sendiri.
“Sebagai ibu, saya hanya mahu melihat mereka bahagia dan selesa dengan kehidupan yang mereka bina,” katanya.











