China medan uji skuad hoki remaja wanita negara

China medan uji skuad hoki remaja wanita negara

Skuad hoki remaja wanita negara mengadakan Jelajah China bermula semalam hingga 11 November ini.-IHSAN MHC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki remaja wanita negara mengadakan Jelajah China bermula semalam hingga 11 November ini sebagai persiapan mereka menghadapi Piala Dunia Remaja Wanita 2025.

Ketua jurulatih negara, Lailin Abu Hassan berkata, sepanjang berada di Tembok Besar itu, pasukannya akan mengharungi tujuh aksi persahabatan yang berperanan untuk menilai keberkesanan sistem permainan serta disiplin taktikal pemainnya.

“Ia juga akan menjadi peluang untuk pasukan menilai tahap kecergasan dan ketahanan mental setiap pemain, selain menguji keserasian mereka di pelbagai posisi di atas padang.

“Melalui perlawanan seperti ini, kita dapat mengenal pasti aspek-aspek yang masih perlu diperbaiki sebelum menghadapi cabaran sebenar di Santiago nanti.

“Ia juga memberi gambaran jelas tentang sejauh mana pemain mampu mengekalkan rentak permainan apabila berdepan tekanan antarabangsa,” katanya.

Tujuh aksi tersebut menentang pasukan yang sama iaitu Jiangsu Junior dan Lailin berkata, dia mahu pemainnya menunjukkan keyakinan dan konsistensi untuk beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi.

“Perlawanan di China ini bukan sekadar ujian taktikal tetapi juga ujian mental. Saya mahu melihat bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan tekanan serta kemampuan mengekalkan fokus sepanjang 60 minit permainan,” katanya.

Sebagai rekod, pemain remaja wanita negara mencipta sejarah apabila layak secara merit ke Piala Dunia buat kali pertama selepas menamatkan saingan Piala Remaja Wanita Asia 2024 di tempat kelima di Oman, Disember lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN