PARIS: Juara dunia berganda 400 meter (m) berpagar dari Belanda, Femke Bol membuat keputusan mengejut apabila bakal memberi tumpuan kepada acara 800m musim depan.
Pelari berusia 25 tahun itu mengumumkan keputusannya melalui hantaran di Instagram semalam sambil menyifatkan langkah itu sebagai cabaran baharu dalam kariernya.
“Acara 400m berpagar memberikan saya banyak detik yang tidak dapat dilupakan dan membentuk siapa diri saya hari ini.
“Tetapi saya mahu mencabar diri sekali lagi dan menolak batas kemampuan saya. 800m ialah wilayah baharu yang membuatkan saya teruja,” tulis Bol dalam hantaran tersebut.
Kenyataan itu turut mendapat perhatian juara Olimpik 800m, Keely Hodgkinson yang berkata, beliau tidak sabar untuk berkongsi garisan permulaan bersama.
Bol yang baru mempertahankan gelaran dunia bulan lalu membuat keputusan tersebut bersama jurulatihnya, Laurent Meuwly selepas menilai potensi jangka panjang.
Musim ini, Bol menutup kempen gemilangnya dengan menamatkan siri Liga Berlian tanpa kalah buat kali keenam berturut-turut.
Kemenangan di Tokyo dengan catatan 51.54 saat (s)mengatasi Jasmine Jones dari Amerika Syarikat (AS) dan Emma Zapletalova dari Slovakia menjadi penutup manis sebelum dia ‘tukar angin’. – AGENSI