PETALING JAYA: Belanjawan 2026 akan memperkukuh ekosistem eksport dan mendukung penerokaan pasaran baharu.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga 70 peratus pembiayaan syarikat pertengahan berorientasi eksport termasuk yang mengembangkan ke pasaran baharu dengan nilai jaminan sehingga RM5 bilion.
“Geran Pembangunan Pasaran MATRADE menyediakan RM60 juta bagi memudah cara Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) mengeksport produk ciptaan Malaysia ke pasaran sedia ada dan pasaran baharu termasuk Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah.
“EXIM Bank menyediakan pinjaman mudah untuk membantu syarikat yang terkesan akibat ketegangan tarif perdagangan global dengan dana RM500 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Susulan rasionalisasi pejabat kerajaan di luar negeri, Program Jaringan Strategik Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan digerakkan dengan peruntukan RM10 juta terutamanya di pasaran baharu berpotensi tinggi. – UTUSAN










