KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 menjadi pelengkap bagi melindungi rakyat menghadapi cabaran ekonomi global dan pelaburan jangka panjang demi membina masa depan negara yang lebih mampan, berdaya tahan serta makmur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Belanjawan 2026 juga bakal menjadi pemangkin untuk merancakkan pembangunan luar bandar, memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan mengangkat bumiputera dalam pelbagai aspek.
Katanya, pembentangan Belanjawan 2026 juga menunjukkan Kerajaan Madani mengutamakan tanggungjawab fiskal yang berhemat, seiring dengan keprihatinan terhadap rakyat.
“Alhamdulillah, peruntukan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk tahun 2026 berjumlah RM12.4 bilion, meningkat sebanyak RM0.44 bilion atau 3.69 peratus berbanding 2025.
“Daripada jumlah ini, RM4.61 bilion diperuntukkan bagi mengurus, manakala RM7.78 bilion diperuntukkan bagi pembangunan manakala sebanyak RM3.3 bilion daripadanya dikhususkan untuk jaringan prasarana luar bandar meliputi projek jalan luar bandar, sekali gus dapat meningkatkan kualiti hidup dan memperkukuh kemudahan asas masyarakat desa,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pada masa sama kerajaan komited untuk memastikan Malaysia terus maju dalam sistem sokongan sosial yang menyeluruh dan daya saing berterusan di peringkat global.
Katanya, ini dapat dilihat menerusi peruntukan dalam bidang TVET yang meningkat kepada RM7.9 bilion berbanding RM7.5 bilion.
Tambahnya, pembangunan Taman Industri Halal Perak (PHIP) di Manjung yang akan diteruskan, dijangka menarik pelaburan besar dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Ahmad Zahid berkata, dengan peruntukan sebanyak RM460 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), ia dapat memastikan usaha menangani impak bencana alam secara menyeluruh melalui pendekatan pencegahan, kesiapsiagaan dan pemulihan dilaksanakan lebih berkesan.
“Sebagai langkah pencegahan banjir jangka panjang, kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi meneruskan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi, termasuk 12 projek baharu yang akan dimulakan tahun hadapan.
“RM380 juta pula disediakan untuk kerja pengawalan hakisan pantai di Pantai Rusila (Terengganu), Pantai Leman (Kedah) dan Pantai Teluk Kemang (Negeri Sembilan),” jelasnya. – UTUSAN