Banjir: KPM pastikan persediaan SPM tidak terjejas

Banjir: KPM pastikan persediaan SPM tidak terjejas

FADHLINA Sidek semasa hadir lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik, di sini yang menempatkan calon SPM untuk tinggal di asrama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persediaan rapi dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat dijalankan seperti dijadualkan meskipun beberapa negeri dijangka berdepan musim banjir dalam tempoh peperiksaan itu.

KPM dalam kenyataan memaklumkan, langkah kesiapsiagaan turut merangkumi pelan tindakan bagi menghadapi kemungkinan banjir di kawasan berisiko tinggi, termasuk daerah dan sekolah yang sering terjejas setiap kali musim tengkujuh.

“KPM berusaha memastikan kesiapsiagaan menghadapi bencana berada pada tahap terbaik dan aspek keselamatan murid, guru dan seluruh warga pendidikan terpelihara,” katanya di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan lawatan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik, di sini yang menempatkan calon SPM untuk tinggal di asrama.

Beliau terdahulu mempengerusikan mesyuarat penyelarasan persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan para pegawai pendidikan daerah.

Fadhlina turut menziarahi mangsa terjejas banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Idris, Pendang, yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS). Sehingga petang ini, seramai 128 orang mangsa masih ditempatkan di PPS berkenaan.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Tunku Abdul Malik, Faridah Derani berkata, asrama di sekolah itu telah dikosongkan bagi memberi laluan kepada calon SPM yang terjejas banjir menginap sepanjang tempoh peperiksaan.

“Seramai 74 calon SPM di sekolah ini dijangka terjejas banjir, jadi mengikut prosedur operasi standard (SOP) kami akan kosongkan asrama ini untuk kemudahan mereka.

“Selain itu, sekolah ini juga akan menerima seramai 45 calon tumpang dari SMK Alor Merah yang turut akan menduduki peperiksaan SPM,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga pelajar tingkatan satu hingga empat SMK Tunku Abdul Malik akan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN