BAM pilih Kim Wai kendali beregu lelaki bersama Herry

BAM pilih Kim Wai kendali beregu lelaki bersama Herry

Chang Kim Wai akan mula bertugas pada 4 November ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Chang Kim Wai dilantik sebagai Penolong Jurulatih Beregu Lelaki dan akan mula bertugas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada 4 November ini.

Beliau akan bekerjasama rapat dengan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi serta jurulatih, Miftakh Nahrawi bagi memperkukuh prestasi skuad beregu lelaki Malaysia.

Pengarah Kejurulatihan  Beregu ABM, Rexy Mainaky berkata, pelantikan Kim Wai merupakan tambahan penting kepada struktur kejurulatihan sedia ada.

“Kami berbesar hati menyambut kehadiran Kim Wai ke dalam pasukan jurulatih kerana beliau mempunyai pengalaman luas serta kefahaman mendalam terhadap permainan beregu.

“Kami percaya kombinasi ini akan membantu pasangan beregu negara mencapai tahap yang lebih tinggi pada masa depan,” kata Rexy menerusi kenyataan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kim Wai, 49, yang berasal dari Perak, merupakan bekas pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2002, gangsa Sukan Asia 2002 dan anggota skuad Piala Thomas 2002.

“Ini satu penghormatan besar untuk saya kembali berkhidmat kepada badminton Malaysia dan saya berazam membantu pasukan mencapai kejayaan baharu.

“Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan jurularih Herry, jurulatih Miftakh dan para pemain demi membawa Malaysia kembali ke puncak dunia,” kata Kim Wai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN