Bagnaia akui tidak mengenali dirinya lagi

Bagnaia akui tidak mengenali dirinya lagi

FRANCESCO BAGNAIA - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Juara dunia MotoGP dua kali, Francesco Bagnaia mengakui sudah tidak mengenali dirinya lagi pada beberapa ketika musim ini berikutan pergelutan prestasinya dengan jentera Ducati.

Selepas 18 pusingan, Bagnaia hanya meraih dua kemenangan grand prix (GP) berbanding 11 pada tahun lalu, manakala rakan sepasukannya, Marc Marquez mendominasi kejuaraan apabila menjuarai 11 GP dan 14 perlumbaan pecut.

Berbaki empat perlumbaan, Bagnaia kini ketinggalan 271 mata di belakang juara dunia, Marquez dalam kedudukan keseluruhan.

“Pihak saya di garaj bekerja keras, jurutera pasukan berusaha sedaya upaya untuk menyesuaikan saya dengan motosikal itu tetapi ia bukan sesuatu yang jelas. Ia bukan menyesuaikan saya kepada motosikal itu tetapi lebih kepada mengubah motosikal itu.

“Ia bukan sesuatu yang mudah kerana apabila rakan sepasukan anda menang dan anda pula mendapat keputusan yang buruk, sukar untuk terus percaya.

“Tetapi mereka tidak pernah berhenti bekerja. Saya sendiri pun tidak mengenali diri saya, saya rasa tiada siapa yang mengenali saya.

“Malah, ada orang mula meragui potensi saya. Tapi saya tak pernah hilang keyakinan. Saya sentiasa yakin bahawa potensi saya adalah untuk bersaing merebut kemenangan,” katanya.

Kesukaran berterusan Bagnaia juga menimbulkan kebimbangan tentang hubungannya dengan Ducati dengan ketegangan yang dilaporkan memuncak pada beberapa ketika baru-baru ini.

Namun, Bagnaia itu tetap menyokong jenama tersebut dan berkata dia berharap akan kekal bersama Ducati sepanjang kariernya setelah menyertai pasukan itu pada 2019. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN