KAJANG: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 iaitu kohort pertama yang tidak menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) berjaya mencatat prestasi memberansangkan dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 mata, terbaik dalam tempoh lima tahun.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pencapaian itu lebih baik berbanding SPM 2024 yang mencatat GPK 4.49 mata iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.07 mata.
“Keputusan ini membuktikan bahawa generasi pelajar hari ini bukan sahaja resilien tetapi mempunyai daya tahan tinggi, termasuk menghadapi cabaran pandemik Covid-19.
“Calin SPM 2025 ini unik kerana tidak melalui sebarang peperiksaan sebelum ini. Namun, mereka telah membuktikan kemampuan diri untuk mencapai keputusan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Majlis Pengumuman SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang, hari ini.
Terdahulu, pencapaian GPK 2025 menunjukkan prestasi memberansangkan dengan mencatat nilai 4.42 mata iaitu terbaik dalam tempoh lima tahun.
Nilai GPK itu lebih mengecil yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding SPM 2024 iaitu 4.49 mata iaitu mengecil sebanyak 0.07 mata.
Pencapaian tersebut merupakan prestasi terbaik sejak lima tahun berdasarkan Kurikulum Sekolah Menengah (KSSM) diperkenal pada tahun 2021
GPK calon mengikut lokaliti turut menunjukkan peningkatan apabila calon di bandar merekodkan sebanyak 4.40 pada 2025 berbanding 4.47 pada 2024.
Sementara itu, nilai GPK luar bandar merekodkan angka 4.81 pada tahun 2025 berbanding 4.92 pada 2024. – UTUSAN










