KUALA LUMPUR: Seorang anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) parah selepas terbabit kemalangan di Jalan Tun Razak berhampiran susur keluar ke Jalan Kinabalu di sini, tengah hari tadi.
Anggota terbabit cedera selepas motosikal ditunggangnya terlanggar bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti secara mengejut.
Ketika kejadian, anggota terbabit sedang mengiringi delegasi dari Brazil yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.
Anggota terbabit difahamkan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Satu video berdurasi empat saat berkaitan kemalangan itu dipercayai dirakam pengguna jalan raya lain, tular sejak tengah hari tadi.
Menerusi video berkenaan, motosikalnya mengalami kerosakan akibat kemalangan manakala anggota terbabit terbaring di tepi jalan tidak jauh dari susur masuk ke Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Difahamkan, Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Kemalangan itu kejadian kedua ketika mengiringi delegasi asing sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Dalam kejadian pukul 1.10 petang semalam, seorang anggota JSPT berpangkat Koperal berusia 35 tahun, cedera selepas motosikal jenis Kawasaki GTR milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditunggangnya, dilanggar sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Kemalangan menyebabkan anggota terbabit patah betis kiri, cedera lutut kiri dan pergelangan tangan. Mangsa dikejarkan ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan lanjut. – UTUSAN










