PARIT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi tekad untuk mendapatkan semula wang rakyat yang dicuri akibat daripada pemimpin dan pegawai penguat kuasa yang rasuah serta kegiatan jenayah.
Perdana Menteri berkata, kejayaan kerajaan menghasilkan rampasan dan kutipan penalti berjumlah hampir RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun, menunjukkan kegiatan tersebut sudah lama berlaku.
Anwar menegaskan, beliau tidak peduli terhadap apa juga kritikan berikutan tindakan tegas beliau terhadap pelaku rasuah yang menyebabkan kehilangan wang negara.
“Semalam saya umum dalam ucapan Belanjawan 2026 dalam tempoh dua tahun kita berjaya merampas wang yang dicuri, diseludup dengan kegiatan jenayah berjumlah RM15.5 bilion.
“Ia menunjukkan kita mempunyai pemimpin dan pegawai yang korup. Saya tidak cakap tiada penguatkuasaan sebelum ini tetapi tindakan penguatkuasaan itu tidak pernah dilakukan seperti yang saya lakukan.
“Maknanya, sudah berapa lama rompakan dan kerja menyauk ini sudah berlaku? Dalam tempoh dua tahun kita berjaya merampas semula wang yang dicuri sebanyak RM15.5 bilion, itu kerana saya tegas. Saya kata semua badan-badan, agensi penguatkuasaan tidak berkompromi, tidak kepada rasuah, tidak kepada penyeludupan, sindiket dan kartel.
“Impian saya dalam beberapa tahun yang saya ada, Insya-Allah saya akan clean up the mess. Saya diberi mandat sebagai Perdana Menteri akan pastikan negara ini menjadi lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar dekat sini hari ini.
Anwar berkata, usaha merampas semula wang negara yang hilang akibat rasuah akan dilakukan terhadap sesiapa sahaja termasuk mereka yang mempunyai pangkat atau gelaran.
“Kadang kala mereka ini ada yang bergelar Datuk, Datuk Seri dan Tun namun saya tidak peduli. Kalau anda mencuri, kami tangkap dan jika anda didapati bersalah, anda akan ke penjara. Itu menjadi prinsip kita.
“Apa pun yang mereka katakan terhadap ketegasan kerajaan, ia tidak mengganggu saya. Dalam hal ini saya mengharapkan orang muda menyokong usaha ini demi masa depan mereka,” katanya.
Dalam ucapan Belanjawan 2026 semalam, Anwar berkata, usaha bersepadu pelbagai agensi penguat kuasa negara berjaya menghasilkan rampasan dan kutipan penalti berjumlah hampir RM15.5 bilion sejak pentadbiran kerajaan.
Ini sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memerangi rasuah, ketirisan dan amalan kartel yang menjejaskan ekonomi serta persaingan pasaran.
Anwar berkata, ketirisan yang berlaku selama ini berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan dan kurangnya tekad politik pada masa lalu. – UTUSAN










