MELAKA: “Tahun lepas tak ada siapa belikan baju, tahun ini baru dapat rasa, rasa seronok sangat,” luah M. Mitharshan, 11, dari Ladang Serkam, Jasin yang tidak henti tersenyum ketika memilih pakaian baharu sempena sambutan Deepavali.
Anak kepada pekerja ladang itu merupakan antara 84 murid daripada keluarga B40 yang diraikan menerusi program pembelian pakaian baharu anjuran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, Datuk VP. Shanmugam dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di Little India, Banda Hilir di sini, hari ini.
“Mak selalu pesan, cukup makan pun dah syukur. Tapi bila dapat peluang beli baju baru, saya rasa sangat gembira. Lepas ini saya nak belajar lebih rajin,” katanya ketika ditemui.
Program melibatkan 21 sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT) itu memberi peluang kepada empat murid terpilih dari setiap sekolah memilih sendiri pakaian mengikut cita rasa mereka.
Shanmugam berkata, program berkenaan dianjurkan bagi menggembirakan anak-anak kurang berkemampuan supaya turut merasai keceriaan perayaan.
“Kita tidak tetapkan kriteria khusus. Pemilihan murid diserahkan kepada guru besar dan JPN. Yang penting anak-anak ini pilih sendiri pakaian yang mereka suka dan pulang dengan senyuman,” katanya.
Beliau berkata, setiap penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima RM200 sempena Deepavali.
“Selain itu, semua wakil rakyat kerajaan negeri turut ada senarai bantuan masing-masing melibatkan sekurang-kurangnya 50 hingga 60 penerima bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya. – UTUSAN










