PETALING JAYA: Lapan atlet Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar sejarah tersendiri apabila terpilih menerima Biasiswa Sukan UniMAP–Budaya Positif, hasil kerjasama strategik antara universiti itu dengan Budaya Positif Sdn. Bhd.
Majlis penyerahan biasiswa berprestij itu disempurnakan oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli, bersama wakil syarikat berkenaan, Salwa Samsudin.
Program berkenaan menjadi platform pengiktirafan kepada atlet cemerlang universiti serta simbol komitmen UniMAP dalam memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi di peringkat institusi pengajian tinggi.
Lebih membanggakan, inisiatif itu merupakan program pertama seumpamanya di UniMAP yang menyaksikan penglibatan langsung pihak industri dalam usaha memperkasa kebajikan dan kecemerlangan atlet universiti.
Biasiswa tersebut turut dilihat sebagai lanjutan kepada pelancaran Program Sukan Prestasi Tinggi UniMAP pada Januari lalu yang diketuai oleh En. Nazmizan Mohamad, memperlihatkan kesungguhan universiti dalam membina ekosistem sukan yang holistik berasaskan disiplin, prestasi, serta keseimbangan antara akademik dan kokurikulum.
UniMAP menzahirkan penghargaan kepada Budaya Positif Sdn. Bhd. atas keprihatinan dan sokongan terhadap pembangunan bakat sukan dalam kalangan pelajar universiti, sekali gus membuka lembaran baharu dalam melahirkan lebih ramai atlet berdaya saing yang mampu mengharumkan nama UniMAP dan negara di persada antarabangsa.-UTUSAN










